Anda Nak Jadi Jutawan Hartanah ?

(Mulakan Langkah Anda Di Sini)

PKNS Lancar Rumah Selangorku 2015

PKNS anak syarikat kerajaan Negeri Selangor turut serta dalam program Rumah Selangorku baru baru ini telah melancarkan hampir 2,000 unit rumah mampu milik di Selangor. Antaranya ialah Rumah Selangorku di Bukit Botak, Bangi, Shah Alam dan juga Antara Gapi. 5 lokasi yang berbeza dan hampir 6,000 unit rumah mampu milik ini akan menjadi projek akan datang PKNS dalam menyambut baik program Rumah Selangorku ini yang dikatakan mampu menyelesaikan masalah kenaikan harga rumah yang melampau. Apa pendapat anda ?

PKNS
Baca dulu artikel ini yang dipetik daripada RakyatPost :

Sebanyak 5,883 lagi unit rumah mampu milik dijangka akan dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di seluruh Selangor di bawah program Rumah Selangorku selepas melancarkan 1,977 unit rumah mampu milik di lima kawasan berbeza sebelum ini.

Pengurus Perhubungan Awam, PKNS, Ishak Hashim berkata, sebelum ini PKNS telah melancarkan projek di Bukit Botak, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Antara Gapi, Seksyen U12 di Shah Alam serta Seksyen 5, Kota Puteri yang mana daripada jumlah itu, sebanyak 1,546 unit telah siap diduduki, manakala 431 unit lagi masih dalam proses pembinaan.

Menurutnya, projek rumah mampu milik itu bertujuan membantu rakyat Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri pada harga yang berpatutan selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk terus memberikan komitmen bagi membina lebih banyak rumah mampu milik di Selangor.

“Tahun 2015 ini juga merupakan tahun terpenting di mana ia adalah tahun pertama dalam fasa lima tahun pertama untuk PKNS membina sejumlah 7,500 unit rumah mampu milik.

“Pembinaan lebih banyak rumah mampu milik ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang telah meningkatkan sasaran untuk membina Rumah Selangorku dari 15,000 kepada 20,000 unit dalam tempoh tiga tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ishak lagi, beberapa kawasan di sekitar Selangor telah dikenal pasti untuk pembinaan unit Rumah Selangorku iaitu di Kampung Seri Temenggung di Gombak, Antara Gapi, Kota Puteri, Taman Sains Selangor 2 (SSP2) dan Rasa di Hulu Selangor.

Jelasnya, tawaran bagi unit kediaman ini dibahagikan kepada empat jenis iaitu jenis A yang berharga RM42,000, berkeluasan 700kaki persegi (kps), jenis B yang berharga RM100,000, berkeluasan 750 kps, jenis C yang berharga RM 150,000 sehingga RM180,000 berkeluasan 800 kps hingga 900 kps manakala jenis D berharga RM220,000 hingga RM250,000 dengan keluasan 1,000 kps.

“Secara keseluruhannya, PKNS akan membelanjakan antara RM1 bilion hingga RM3 bilion sebagai subsidi untuk pembinaan rumah-rumah ini dan proses saringan awal bakal pembeli rumah mampu milik dikawal sepenuhnya oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Orang ramai yang berminat boleh mendaftar dengan LPHS dan perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor.

“PKNS hanya menerima senarai nama pemohon daripada LPHS yang telah diperakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pembeli Rumah Mampu Milik,” ujarnya.

Antara syarat permohonan ialah pendapatan bulanan isi rumah tidak lebih dari RM8,000 sebulan, tidak memiliki sebarang jenis kediaman lain di Selangor dan tujuan pembelian adalah semata-mata untuk mendiami bukan disewakan.

Pautan Artikel Asal –> therakyatpost pkns-sasar-lancar-5883-unit-rumah-selangorku-tahun-ini

>